Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, akur dengan ketiadaan khidmat pembantunya, Nenad Bacina, yang tidak ditawarkan kontrak baru oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kelibat Bacina sememangnya sudah sinonim dengan Hodak sejak mereka berkhidmat bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014.

Dia terus mendapat kepercayaan Hodak untuk bersama dengan skuad B-19 negara dan pencapaian terbaik sudah pasti menjuarai Kejohanan AFF di Indonesia, tahun lalu.

Bagaimanapun, FAM memutuskan untuk tidak melanjutkan khidmat Bacina dan kini Hodak akan dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar.

"Menurut FAM, mereka tidak memiliki bajet untuk Bacina tetapi Hairudin dan staf lain akan terus bersama saya, jadi tiada sebarang perubahan lain," kata Hodak.

"Memang mudah apabila bekerja dengan pasukan yang sudah lama bersama anda tetapi jika bajet yang ada tidak mencukupi, saya tidak boleh mengubahnya."

Kem latihan pertama buat skuad B-19 kebangsaan akan bermula Selasa ini dengan sejumlah 28 pemain dipanggil oleh Hodak.

Tumpuan utama sudah pasti ingin menilai tahap semasa pemain di samping mencari keserasian dalam kalangan mereka.

Dua tugasan penting buat Hodak tahun ini bersama pasukannya adalah mempertahankan gelaran Piala AFF di Vietnam, Ogos depan, disusuli kelayakan Kejohanan AFC, sebulan kemudian.

"Bagi kami, ia adalah cabaran baru. Pasukan ini masih baru walaupun ada yang hadir daripada skuad Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan sebahagian besar daripada mereka beraksi buat skuad B-16 tahun lalu.

"Kini, kami mahu memulakan sesuatu, jadi perlu beraksi secara kerap dalam Kejohanan AFC andai mahu naik ke satu tahap yang lebih tinggi."