Jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, seolah-olah dapat membaca tahap kecergasan skuad Myanmar sehingga mampu bangkit untuk menewaskan lawan dalam final Kejohanan AFF B-19 di Surabaya, malam tadi.

Di samping itu, beliau turut menegaskan perancangan taktikal banyak membantu kelemahan pasukan walaupun tidak melalui persediaan rapi untuk menghadapi kejohanan ini.


Selepas mengharungi lima perlawanan dalam tempoh 10 hari, Hodak tidak dapat mengelak daripada melihat anak buahnya semakin kepenatan, terutama dalam aksi final bertemu Myanmar.

Justeru, dia tidak hairan apabila jaringan mudah diraih oleh kedua-dua pasukan dalam tempoh yang singkat mampu berlaku, terutama dalam aksi babak kedua.

"Kedua-dua pasukan telah penat dan anda boleh jangkakan banyak kesilapan terjadi. Anda boleh lihat mereka mudah menjaringkan gol dan secara fizikal, kelajuan permainan tidak begitu lancar," katanya.

Hodak juga mengakui kemenangan yang dicatat bukanlah hasil daripada kualiti permainan yang baik tetapi tetap lega kerana taktikal yang diterapkan mampu menutupi kelemahan skuad negara sebelum berlepas ke Indonesia.

"Apabila anda tidak mempunyai masa, anda tidak boleh memperbaiki tahap stamina. Itu adalah sebab mengapa kami sering melakukan penggiliran.

"Pemain-pemain mengikut segala perancangan dan ia membuatkan segalanya menjadi mudah," tambahnya.

Bagaimanapun, bagi Hodak, kemenangan dalam Kejohanan AFF kali ini memberi petanda baik menjelang kelibat mereka dalam Kejohanan AFC Bawah 19 tahun yang akan berlangsung Oktober depan.