Hodak saran skuad B-18 konsisten di ASEAN

Oleh Staff Writer 23 Ogos 2019 3068
Hodak saran skuad B-18 konsisten di ASEAN
Bekas jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mencabar skuad B-18 yang kini dikendalikan Brad Maloney agar kekal konsisten di rantau ASEAN demi mencapai kelayakan ke Kejohanan AFC B-19, November depan.

Tegas jurulatih kelahiran Croatia itu, apa yang perlu dilakukan Maloney adalah memastikan kelibat skuad negara di Asia Tenggara sekiranya benar-benar ingin berada dalam kelompok terbaik Asia.

Selepas muncul antara yang terbaik dalam Kejohanan AFF B-18, sasaran mereka sudah semestinya memastikan kemaraan ke Kejohanan AFC B-19 tahun depan.

Pada pengamatan Hodak, Malaysia masih jauh ketinggalan sambil kelayakan Kejohanan AFC B-19 menjadi pertaruhan.

"Skuad negara masih di tahap ASEAN dan untuk berada di tahap seterusnya, prestasi skuad negara perlu tekal dalam Kejohanan AFF. 

"Mereka kini meniti landasan tepat untuk sekali lagi layak ke Kejohanan AFC dan berpeluang menguji keupayaan di peringkat yang lebih tinggi," katanya. 

Tegasnya lagi, ia tugas sukar, namun kredibiliti majoriti pemain daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu perlu dibuktikan selepas pendedahan yang diharungi mereka. 

"Barisan pemain NFDP mempunyai kualiti daripada segi teknikal dan taktikal memandangkan mereka menimba ilmunya di sekolah selama lima tahun. 

"Bagaimanapun, (berbeza dengan) pemain selebihnya yang hanya mula didedahkan dengan ilmu bola sepak sebaik menyertai kelab, iaitu ketika berusia 16 tahun menerusi Piala Belia," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen