Sembilan pemain daripada kesebelasan utama skuad negara ketika aksi separuh akhir bertemu Indonesia dikekalkan untuk aksi final Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun menentang Myanmar di Gelora Delta Sidoarjo, malam ini.

Jurulatih kebangsaan, Bojan Hodak, melihat pemain yang dipertaruhkan ketika bertemu Indonesia tempoh hari merupakan kombinasi paling seimbang sepanjang kempen kali ini.

Justeru, hanya perubahan kecil akan dilakukan di bahagian tengah pasukan melibatkan Ahmad Tasnim Fikri yang menggantikan Nabil Hakim dan Ammar Akhmall Alias mengisi kekosongan yang ditinggalkan K. Thivandaran akibat kecederaan.

"Thivandaran mengalami kecederaan, dia berasa sakit, menyebabkan saya tidak boleh menurunkannya.

"Ahmad Tasnim akan menggantikan tempat Nabil tetapi mereka berdua telah menjalani penggiliran di sepanjang kejohanan. Saya gembira dengan prestasi mereka," kata Hodak.

Menjelang aksi bertemu Myanmar, Malaysia tidak mahu menelan kekecewaan lagi selepas hampa pada tahun lalu ekoran kekalahan di tangan Thailand.

Bagaimanapun, Hodak menegaskan kejayaan mengatasi Myanmar dalam aksi peringkat kumpulan bukan bayangan mudah untuk menilai kekuatan sebenar pihak lawan sambil menjangkakan cabaran sukar menanti setelah mereka mengatasi Thailand 1-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

"Saya tidak pernah menjangkakannya dan hanya meminta pemain-pemain memberikan aksi terbaik.

"Tahun lalu, kami tewas di tangan Thailand walaupun mendominasi perlawanan. Jadi, pemain-pemain harus beraksi pada tahap maksimum kerana tidak kira apa yang berlaku, sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa persembahan terbaik telah dipamerkan."