Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengakui kelebihan fizikal tidak memihak kepadanya merujuk kepada generasi baru yang akan dibimbing menjelang saingan Kejohanan AFC B-19, November depan.

Hodak mengakui fizikal pemain yang bakal diterajuinya memiliki bentuk badan yang lebih kecil jika dibandingkan dengan barisan pemain terdahulu.

Itu membuatkan Hodak perlu lebih teliti dalam membuat pilihan pemain kerana tidak mahu skuadnya sukar bersaing ekoran masalah fizikal.

Bagaimanapun, ada kelegaan buat Hodak apabila pilihan pemain yang merupakan separuh daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) memiliki teknik permainan lebih baik di atas padang.

"Masalah utama adalah skuad B-19 dibarisi pemain-pemain baru dan keserasian harus dicapai secepat mungkin. Mereka adalah pemain yang berkualiti tetapi masih lagi kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa," katanya.

Hodak mahu lebih banyak aksi untuk memastikan keserasian mereka mereka memandangkan dia hanya memiliki tempoh sembilan bulan dari sekarang sebelum kejohanan itu berlangsung.

"Kami memerlukan perlawanan yang sukar bagi mengenal pasti pemain-pemain yang terbaik dalam taktikal ditetapkan."