"Jika pasukannya gagal, dia perlu bertanggungjawab, bukan tuding jari kepada orang lain." Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, merujuk kepada kenyataan berani jurulatih skuad B-19, Bojan Hodak, yang mengkritik sistem pembangunan bola sepak negara.

Bagi Hamidin, sekiranya skuad kendalian Hodak melalui jalan sukar untuk menyerlah dalam mana-mana penyertaan antarabangsa, jurulatih itu perlu tahu di mana silap yang berpunca daripadanya.

Dengan menudung jari kepada pihak lain, itu adalah tindakan salah yang telah dilakukan pengendali kelahiran Croatia tersebut.

"Sebagai kakitangan FAM, dia perlu bertanggungjawab, dia perlu jelaskan kritikan yang dilemparkannya kepada semua pihak di FAM, termasuk pengarah teknikal.

"Kalau nak kritik sekalipun, dia perlu ikut saluran yang tertentu," ujarnya.

Sehubungan itu, Hamidin menganggap setiap kenyataan yang keluar daripada mulut Hodak itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Dia perlu tampil berikan penjelasan seperti yang termaktub dalam kontraknya sebagai kakitangan FAM, mungkin apa yang diluahkannya betul tetapi caranya tidak betul," ujarnya lagi.