Jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, menafikan bahawa keletihan Kemboja yang baru sahaja beraksi kelmarin sebagai punca skuad Musashi Mizushima itu gagal berada dalam kecergasan terbaik mereka ketika menentang Malaysia dalam aksi kedua Piala AFF B-19 di Kota Surabaya, semalam.

Hodak berkata sesebuah pasukan yang melewati tempoh rehat selama 48 jam sudah cukup untuk kembali ke kondisi asal mereka.

Ia seolah-olah menafikan dakwaan bahawa keadaan semasa pemain Kemboja yang masih keletihan sebagai punca kemenangan pertama Malaysia dalam aksi di Stadium Gelora Joko Samudro itu.

"Kami ada kelebihan dalam separuh masa kedua, mungkin 20 hingga 30 minit terakhir ketika lawan keletihan.

"Tetapi ia bukan kelebihan dalam separuh masa pertama kerana mereka sudah bermain di stadium sama dalam kejohanan ini.

"Pasukan saya tidak bersama sejak November tahun lalu di Korea Selatan. Ia satu kelebihan pada satu aspek tetapi pada aspek lain, ia bukan kelebihan," katanya.

Tambah Hodak, anak buahnya tidak mendapat kemenangan mudah, sebaliknya terpaksa berhempas-pulas mencari peluang jaringan untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Kemboja.

Katanya, perkara lebih utama adalah kualiti permainan kerana sasaran sebenarnya adalah saingan Kejohanan AFC B-19 di Indoenesia dari 18 Oktober hingga 4 November depan.

"Sasaran saya tahun ini adalah Kejohanan AFC pada Oktober kerana sejak 30 atau 40 tahun lalu, Malaysia bermain hanya sekali dua.

"Malangnya, saya tidak dapat mengumpul pemain ini kerana kebanyakan mereka bermain dalam Liga Malaysia, tidak seperti tahun lalu.

"Saya hanya dapat mengumpul mereka hanya dua hari untuk kejohanan ini, masanya tidak cukup untuk buat persiapan," katanya lagi.