Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, tampak menukar pendiriannya berhubung kehilangan khidmat penolong jurulatih, Nenad Bacina, selepas terpaksa melakukan 'dua kerja' ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Hodak sebelum ini akur dengan ketiadaan khidmat Bacina selaku pembantunya yang tidak ditawarkan kontrak baru oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, selepas dua hari kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan, Hodak dilihat terkesan dengan ketiadaan Bacina walaupun dia mempunyai seorang lagi penolong jurulatih, Hairuddin Omar.

Jurulatih dari Croatia itu terpaksa merangka sepenuhnya sesi latihan, sekali gus dilihat sebagai satu cabaran kepadanya menjelang beberapa tugasan penting tahun ini.

"Lebih mudah jika ada dua pembantu, terutama seseorang yang sudah lama bekerja bersama anda. Lebih jelas, ia terasa sekiranya pembantu itu pernah mengecapi kejayaan bersama anda. Namun, saya tidak dapat melakukan apa-apa," kata Hodak.

Skuad B-19 negara yang mula menjalani latihan kelmarin akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan dalam tempoh dua minggu kem latihan pusat itu.

Ia sebagai persiapan dan persediaan awal bagi menghadapi Kejohanan AFF serta kelayakan Kejohanan AFC yang dijadual berlangsung Julai dan September depan.

"Kami memiliki lebih ramai pemain daripada skuad Piala Presiden berbanding tahun ini. Kini, hanya sedikit.

"Bagaimanapun, kami akan melihat perkembangan selepas seminggu."