Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, berpendapat pasukannya mampu menjaringkan lebih daripada dua gol yang diraih selepas membenam cabaran Kemboja dalam saingan Piala AFF di Kota Surabaya, semalam.

Perlawanan di Stadium Gelora Joko Samudro itu menyaksikan Malaysia memperoleh kemenangan selepas Shivan Pillay Asokan dan Akhyar Rashid menjaringkan gol dalam setiap babak.

Bagaimanapun, Hodak yakin anak-anak buahnya mampu mencatat kemenagan lebih besar sekiranya deretan peluang yang hadir disempurnakan dengan baik.

"Kami sepatutnya menjaringkan enam hingga tujuh gol. Pertahanan kami sangat ampuh dan saya rasa kami bagus di bahagian itu.

"Di barisan tengah pula, permukaan padang tidak baik menyukarkan permainan dan kekurangan sesi latihan sebelum perlawanan menjadi punca aksi kami kurang baik dan kami harus meningkatkannya," kata Hodak.

Sementara itu, ketua jurulatih Kemboja, Musashi Mizushima, mahu melupakan kekalahan itu dan mula mempersiapkan diri menjelang aksi seterusnya berdepan Myanmar.

"Ia perlawanan yang sukar, kami sudah cuba untuk pastikan nasib menyebelahi kami. Namun, ia tetap milik Malaysia.

"Kami tiada masa untuk berasa sedih dengan kekalahan ini. Kami akan bangkit untuk aksi dengan Myanmar," katanya lagi.