Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengakui barisan utama yang bakal diberi tanggungjawab untuk aksi kedua menentang Brunei dalam saingan Kejohanan AFF bukanlah kesebelasan terbaik, namun yakin mereka mampu membalas kepercayan.

Hodak memberikan alasan bernas berhubung nama-nama yang akan memikul tanggungjawab Malaysia di Gelora Joko Samudro, hari ini.

Ternyata barisan kedua yang dibawa Hodak tidak akan hanya menjadi pengganti di saat perlu sahaja, sebaliknya aksi mereka tetap ditagih bagi melihat prestasi semasa semua pemain yang dibawa ke Surabaya.

Perancangan Hodak juga adalah untuk mengelak risiko kecederaan pemain utama selain memberi peluang pemain lain untuk turut bersaing merebut posisi yang ada, sekali gus perebutan posisi dalam pasukan mempamerkan persaingan sihat.

"Saya tidak mahu mengatakan ia sebagai pasukan kedua. Saya hanya mahu memberikan peluang kerana terdapat beberapa pemain yang beraksi tidak begitu baik bersama kelab sebelum ini hingga menyebabkan mereka berada di bangku simpanan.

"Mereka harus berada dalam kesebelasan utama. Jadi, aksi ini mungkin bukan barisan terbaik tetapi saya mahu mereka mendapatkan persefahaman yang kukuh," kata Hodak.

Selepas menang ke atas Kemboja, tentunya rentak yang sama mahu dipamerkan dalam pertemuan dengan Brunei.

Hodak tidak mahu menganggap perlawanan itu sebagai satu tugas mudah kerana selepas melewati dua kekalahan, sudah pasti lawan mahu mencari peluang untuk melakar kejutan menjelang aksi dengan Malaysia.

"Tidak kira mereka dibolosi atau tidak, mereka bertahan dengan baik. Mereka juga bekerja keras, jadi bukan mudah untuk menewaskan mereka.

"Jika anda masih ingat aksi di Korea Selatan, kami membuat 22 percubaan ke pintu gol tetapi hanya mengutip satu jaringan. Jadi, hari ini terbukti bahawa ia bukan satu tugas yang mudah."