Jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Bojan Hodak, meletakkan lebih perhatian terhadap tiga serangkai Indonesia, iaitu Egy Maulana Vikri, Saddil Ramdani dan Todd Rivaldo Ferre menjelang aksi separuh akhir Kejohanan AFF B-19, malam ini.

Ketiga-tiga tonggak tuan rumah itu dilihat memiliki kelebihan tersendiri dan mampu memberikan ancaman buat Malaysia sekiranya skuad negara tidak memandang serius kemampuan mereka.

Bagi Hodak, dia sempat menyaksikan keberkesanan Saddil dan Todd dalam beberapa aksi Kumpulan A, namun tidak pasti prestasi yang mampu dijelmakan Egy yang baru pulang dari Poland kelmarin.

Dalam masa sama, Hodak berminat untuk menyaksikan sejauh mana kemampuan Egy untuk beraksi di tahap sepatutnya ekoran kepenatan mengharungi tempoh penerbangan yang panjang selain tidak ada ruang untuk menjalani sesi latihan bersama.

"Dia ibarat salah seorang bintang terbesar. Kami tidak tahu mengenai Egy tetapi dia telah ke Eropah dan itu satu perkara yang bagus.

"Dia mempunyai kualiti dan masih mampu meningkatkannya. Namun, belum tentu dia mampu menjelmakan aksi sebenar, bermakna perlawanan akan menjadi lebih menarik," ujarnya.

Sementara itu, Hodak dijangka akan merombak empat hingga lima pemain daripada aksi bertemu Myanmar untuk digantikan dengan nama-nama yang yang lebih cergas dan menyerlah dalam empat aksi Kumpulan B.

"Dalam aksi sebelum ini, Muhammad Arif Mohamed Anwar beraksi dalam 20 minit terakhir, Hadi Fayyadh Abdul Razak masuk ketika permainan berbaki lima minit. Jadi, mereka akan lebih cergas untuk beraksi dalam separuh akhir."