BAYERN MUNICH 4 WERDER BREMEN 2

Bayern Munich mempamerkan kebangkitan untuk melakar kemenangan 4-2 ke atas Werder Bremen dalam Bundesliga di Allianz Arena, awal pagi tadi.


Thomas Muller dan Robert Lewandowski masing-masing menjaringkan dua gol untuk membawa Bayern berkelebihan 16 mata di tangga teratas.

Tetapi permulaan Bayern tidak berjalan baik apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas jaringan pembukaan pemain tengah Bremen, Jerome Gondorf, pada minit ke-25.

Dan selepas kedudukan terikat 2-2 hasil jaringan sendiri pemainnya, Niklas Sule, pada minit ke-73, Muller dan Lewandowski menyelamatkan tiga mata dengan gol masing-masing pada minit ke-76 dan 84.

Ia adalah kemenangan ke-15 berturut-turut Bayern ketika menentang Bremen dan Jupp Heynckes melahirkan kelegaannya selepas meraih keputusan itu.

"Secara keseluruhan, Bremen bermain dengan sangat baik. Mereka bukan hanya bertahan tetapi berani melakukan serangan.

"Permainan kami tidak berjalan lancar hari ini. Kami terlalu perlahan. Tetapi, hakikatnya kami memenangi perlawanan seperti ini dan ia membezakan kami," kata Heynckes.