BAYERN MUNICH 0 HERTHA BERLIN 0

Jupp Heynckes enggan kecewa selepas rentak kemenangan Bayern Munich berakhir dengan seri 0-0 menentang Hertha Berlin.


Pemimpin Bundesliga itu terlepas deretan peluang -- terutama pada babak pertama -- yang menyaksikan mereka buntu jaringan buat julung kalinya di Allianz Arena musim ini.

Sungguhpun gagal melakar kemenangan ke-15, Heynckes memuji usaha pemainnya ketika berdepan Hertha yang memperagakan keazaman tinggi.

"Walaupun seri tanpa gol, saya mendapati sikap yang baik dalam perlawanan hari ini," jurulatih Bayern itu memberitahu media.

"Kami terlibat dengan beberapa peluang berprofil tinggi yang tidak kami gunakan sebaiknya pada babak pertama. Selepas itu, permainan menjadi sukar kerana kami menentang sebuah pasukan yang bertahan dengan bijak.

"Kami boleh menerima keputusan ini dan saya sama sekali tidak boleh menyalahkan pasukan saya. Kami melepaskan banyak peluang, ia agak luar biasa tetapi itulah yang terjadi pada hari ini."

Hertha menyekat Robert Lewandowski daripada merakamkan rekod baru Bundesliga dengan menyumbat gol dalam perlawanan ke-12 berturut-turut.

Penggempur Poland itu yang membuat penampilan ke-250 Bundesliga, menyaksikan dua percubaannya dinafikan penjaga gol, Rune Jarstein.

"Kami bermain dengan baik," kata jurulatih Hertha, Pal Dardai.

"Kami tidak konsisten dalam serangan balas, kami bagaimanapun tidak mampu melakukan lebih banyak lagi. Kami perlu gembira dengan keputusan ini."