Lucas Hernandez berkata dia menyertai Bayern Munich untuk keluar daripada zon selesa di Madrid.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu menyertai juara Bundesliga itu daripada Atletico Madrid menerusi perpindahan bernilai EUR80 juta (RM369 juta) sebelum bermula kempen 2019-20.

Dia kini menjadi pilihan kelab dan negaranya sejak beberapa minggu lalu susulan panggilan yang diterima daripada pasukan kebangsaan Perancis bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Iceland dan Turki walaupun terlepas dua aksi terdahulu bersama Bayern akibat kecederaan lutut.

Hernandez -- yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Perancis menewaskan Iceland 1-0, Jumaat lalu -- berkata dia menyertai The Bavarians memandangkan sudah tiba masa untuk melalui permulaan baru.

"Terdapat minat daripada beberapa kelab dan saya memiliki segalanya di Madrid," katanya.

"Saya mempertaruhkan segalanya. Saya berfikir tentangnya dan berbincang dengan keluarga.

"Akhirnya, ia adalah detik terbaik untuk mengubah kehidupan, bandar dan negara bagi melihat sesuatu yang berbeza. Bayern sesuai dengan pemikiran dan cita-cita saya.

"Wakil kelab dan pemain memberitahu bahawa saya bakal menyertai sebuah keluarga. Ia memang benar.

"Bayern merupakan kelab bersejarah. Ia mewakili banyak perkara di dalam dunia. Saya telah pun mempunyai sedikit pengalaman serta beberapa pencapaian tetapi saya gemar bersaing dan mahu memenangi lebih banyak kejuaraan. Bayern adalah mesin kemenangan. Ia sempurna buat saya.

"Ini adalah langkah sebenar untuk menyertai Bayern. Saya mahu naik ke satu tahap lebih tinggi. Menyertai Bayern menyaksikan saya telah tiba ke salah satu kelab terbaik dunia.

"Saya mahu meletakkan diri di bawah tekanan, menyertai kelab berbeza di mana bahasa dan budayanya berlainan. Saya juga mahu berada dalam bahaya dan keluar daripada zon selesa di Madrid."

Walaupun menyertai pasukan yang dibarisi pemain berjaya, Hernandez berkata dia dialu-alukan dengan tangan terbuka ke dalam bilik persalinan yang tidak diisi dengan ego.

"Apabila mereka menunjukkan semua yang pernah dimenangi, ia hebat," tambahnya.

"Kemudian, bilik persalinan. Anda hanya fikirkan 'ini akan jadi hebat!' Anda memiliki pemain berwibawa seperti Thomas Muller dan Robert Lewandowski yang telah beraksi dalam semua perlawanan dan memenanginya.

"Kemudian, anda sedar bahawa ia adalah bilik persalinan yang normal, di mana semua pemain tenang. Ia bukan bilik yang dipenuhi dengan pemikiran lapuk. Semua orang berbual sesama mereka. Mereka sangat mudah."