Pertahanan Russia, Viktor Vasin, berkata Cristiano Ronaldo dan Javier Hernandez memiliki kualiti berbeza menjelang aksi berdepan bintang Mexico itu, malam ini.

Ronaldo dan Hernandez telah menjaringkan satu gol dalam aksi pertama Piala Konfederasi setakat ini, dengan bintang Real Madrid itu meledak gol kemenangan Portugal ketika berdepan Russia dan penyerang Bayer Leverkusen, Hernandez menjaringkan gol ketika seri 2-2 dengan juara Eropah tersebut.

Vasin melalui cabaran yang sukar ketika berdepan Ronaldo tetapi percaya pemain berusia 32 tahun itu berada di kelas yang berbeza jika dibandingkan dengan Hernandez.

"Saya hanya menyaksikan Hernandez beraksi di kaca televisyen. Jika mahu dibandingkan dengan Ronaldo, anda perlu melihat kepada statistik mereka, berapa bilangan bola emas dan kasut emas yang diraih oleh Ronaldo," kata Vasin.

Russia telah melangkah ke separuh akhir Euro 2008 tetapi ia merupakan pencapaian terbaik mereka sejak 1988.

Vasin optimis jika mereka berjaya melakar kemenangan ke atas Mexico, mereka akan mara ke separuh akhir, sekaligus melakar satu lagi pencapaian terbaik negara tersebut dalam saingan peringkat antarabangsa.

"Kami akan cuba memberikan yang terbaik, tiga mata penuh adalah sasaran kami."