Lucas Hernandez berkata dia berasa 100 peratus sihat selepas melakukan penampilan pertamanya ketika Bayern Munich membelasah kelab tempatan, FC Rottach-Egern, 23-0.

Bayern mendatangkan pemain skuad juara dunia Perancis itu daripada Atletico Madrid dengan perjanjian bernilai €80 juta (RM374.9 juta) yang diumumkan Mac lalu.

Hernandez sebelum ini terlepas perlawanan pramusim ketika menentang Arsenal, Real Madrid, AC Milan, Fenerbahce, Tottenham Hotspur dan Borussia Dortmund gara-gara kecederaan lutut.

Bagaimanapun, peminat Bayern berpeluang menyaksikan aksi pertamanya ketika pasukan itu membelasah Rottach-Egern di padang latihan mereka di Tegernsee, hari ini.

Selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua, Hernandez berkata: "Saya berasa amat sihat, saya sudah 100 peratus.

"Sya tidak berasa sakit, saya rasa keadaan fizikal saya amat baik dan sudah bersedia untuk bersaing 100 peratus," katanya.

Hernandez dapat melakukan penampilan rasmi pertamanya apabila Bayern berdepan Energie Cottbus dalam pusingan pertama DFB-Pokal, awal pagi Selasa ini.

"Saya berusaha, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mahu beraksi dalam perlawanan rasmi pertama saya bersama Bayern dan harap-harap saya dapat diturunkan Isnin (awal pagi Selasa) ini," katanya.

Bayern, yang tewas kepada Borussia Dortmund dalam penentuan Piala DFL-Supercup minggu lalu, sedang memburu kejuaraan Bundesliga kelapan berturut-turut musim ini.

Pasukan gergasi Jerman itu, bagaimanapun, gagal menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sejak musim 2012-13 selepas tersingkir dalam pusingan 16 musim lalu.

"Sasaran peribadi saya adalah untuk memenangi kesemuanya," tambah pemain berusia 23 tahun itu.

"Saya mahu memenangi setiap kejohanan.

"Saya ke sini untuk memenangi kejuaraan dan saya harap kami dapat memenanginya sebanyak mungkin tahun ini," katanya.