Thierry Henry yakin dia mampu berjaya dalam bidang kejurulatihan di sebalik pemecatannya selepas tiga bulan ketika membimbing Monaco.

Pengendali berusia 42 tahun itu telah digantung dan dilepaskan oleh kelab Ligue 1 itu pada Januari lalu selepas sekadar meraih empat kemenangan daripada 20 perlawanan.

Dia sebelum ini bertindak sebagai pembantu Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium sebelum beralih ke bidang pengurusan.

Selepas tujuh bulan meninggalkan Stade Louis II, bekas penyerang Arsenal, Henry, telah meletakkan sasaran untuk kembali dan mendedahkan dia telah mula mendapat beberapa tawaran."Panggil saya gila jika anda mahu, tetapi saya sangat menggemari bola sepak dan saya masih percaya mampu menjadi jurulatih yang berjaya," katanya kepada The Telegraph.

"Saya tidak memikirkan tentang keperitan, tidak memikirkan tentang kegagalan. Saya tidak suka melakukan tugas yang mudah. Saya mahu melakukannya dan berjaya. Sama seperti ketika saya menyertai Arsenal sebagai pemain, sama seperti bersama Belgium menjadi pembandu Martinez. Ia merupakan satu evolusi.

"Telefon saya tidak berbunyi selama empat bulan selepas saya meninggalkan Monaco dan secara tiba-tiba saya telah mendapatnya semula. Terdapat beberapa tawaran menarik daripada beberapa kelab ternama."

Henry tidak menyesal apabila mengambil tugas di Monaco dan berterima kasih kerana diberikan peluang di kelab dia memulakan langkah sebagai pemain bola sepak tetapi mengakui dia akan lebih cermat sebelum membuat keputusan selepas ini.

"Ia merupakan sesuatu yang sentiasa saya katakan. Anda menang atau anda belajar sesuatu. Apa yang anda dapat lihat, saya telah banyak belajar.

"Saya masih terhutang budi kepada Monaco. Ia merupakan kelab yang memberikan peluang kepada saya untuk menjadi jurulatih."

Henry gagal untuk mencetus inspirasi kepada Monaco dan Leonardo Jardim yang dipilih sebagai pengganti berjaya memastikan mereka mengelak daripada penyingkiran.