Penyerang skuad negara, Ahmad Hazwan Bakri, tidak mahu semua penyokong meletakkan harapan padanya seorang sahaja dalam usaha merobek kubu Korea Utara menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium I-Mobile, Buriram, malam ini.

Hazwan sebelum ini tidak dapat menyertai skuad negara ke Hong Kong pada 10 Oktober lalu kerana mengalami kecederaan bersama Shahrel Fikri Md Fauz.

Untuk perlawanan keempat, kehadiran penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad, memberikan petanda Hazwan dijangka menjadi taruhan utama pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada, di barisan depan.

Bagaimanapun, Hazwan menyifatkan tugas untuk mencari jaringan terletak di bahu semua pemain tetapi dia sebagai penyerang akan cuba mencipta seberapa banyak ruang dalam misi mencari kemenangan sulung skuad negara.

Penyerang yang berasal dari Labuan itu mengakui prestasinya kini berada di tahap terbaik selepas membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia, Sabtu lalu.

“Bagi saya, kami bermain sebagai satu pasukan dan tanggungjawab itu bukan hanya terletak kepada saya.

“Perlawanan ini adalah peluang terbaik kami kerana sejak bermula, kami belum mencatat sebarang kemenangan,” kata Hazwan.

Sementara itu, penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, menyifatkan pilihan kini lebih terbuka buat Vingada selepas dapat menyenaraikan skuad yang lebih lengkap berbanding dalam aksi sebelum ini.

Walaupun tanpa kelibat Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Badrol Bakhtiar yang dilanda masalah kecederaan dan penggantungan, kehadiran tonggak utama seperti Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, S. Kunanlan dan Mohd Fazly Mazlan mampu menjelmakan keputusan yang positif buat Malaysia.

“Senarai pemain yang ada buat masa sekarang memberi sedikit kelebihan kepada Vingada kerana rata-rata mereka adalah daripada skuad JDT, jadi memudahkannya untuk mencorak taktikal. Segala-galanya terserah kepada Vingada," tambahnya.