Episod duka Piala Suzuki AFF 2016 ingin dipadam penyerang Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri, apabila Harimau Malaya membuat perhitungan dengan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan A, Jumaat ini .

Igauan tewas 0-1 kepada Vietnam dalam edisi lalu masih berlegar di minda Hazwan dan lebih perit, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dengan hanya Hazwan ketika itu menjadi taruhan utama untuk merobek gawang lawan.

Namun, Hazwan menegaskan skuad kali ini adalah berbeza dengan garapan yang direncanakan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dan dia yakin Malaysia mampu menebus kekecewaan lalu.

"Bagi saya, dua tahun lepas kami tewas tipis 0-1 dan kami boleh bermain menentang mereka. Mungkin skuad kali ini sedikit berbeza," katanya.

Hazwan juga beranggapan barisan penggempur kali ini memiliki kredibiliti tersendiri yang mampu menjadi elemen penting untuk memacu kejayaan Harimau Malaya sebagai jaminan ke separuh akhir.

Hazwan bertindak selaku pemain gantian ketika bertemu Laos, Isnin lalu, apabila kelibatnya mengubah corak permainan sehingga Malaysia mencipta kemenangan 3-1 di penghujung perlawanan.

"Saya tidak kisah di mana saya diletakkan. Saya akan tetap akan memberikan persembahan terbaik untuk mendapatkan gol.

"Jika dilihat sewaktu berdepan Laos, lawan banyak bertahan sehingga menyukarkan kami memecah masuk. Alhamdulillah, akhirnya Norshahrul Idlan Talaha dapat menyumbat gol," ujarnya.