Eden Hazard memuji Youri Tielemans selepas dia menjaringkan gol dalam kemenangan 3-1 Belgium ke atas Russia awal pagi tadi sambil menjangkakan pemain tengah Leicester City itu akan muncul selaku watak penting.

Pemain berusia 21 tahun itu memecah kebuntuan pada minit ke-14 perlawanan ketika aksi kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi sebelum kesilapan Thibaut Courtois menghadiahkan Russia gol penyamaan.

Dua gol daripada Hazard, termasuk satu menerusi sepakan penalti, mengesahkan kemenangan pertama buat Belgium dalam saingan Kumpulan I tatkala Russia menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Aleksandr Golovin diperintah keluar padang.

Hazard mungkin membuktikan dirinya selaku seorang pemenang sesebuah perlawanan, namun dia tetap memuji kelibat Tielemans yang berusaha keras memberi sumbangan buat The Red Devils.

"Saya menikmati kemenangan di mana saya menyumbat dua gol," kata Hazard.

"Ia berjalan dengan baik. Selepas aksi terakhir sebelum ini (kekalahan 5-2 di tangan Switzerland), kami perlu membalas kritikan yang diterima.

"Kami tidak sebagus hari ini sepanjang masa tetapi telah mencipta banyak peluang dan menjalankan tugas.

"Satu pujian buat Tielemans dan dia akan bergelar pemain penting."

Tielemans turut berkata: "Saya sangat gembira dengan jaringan tersebut. Ia penuh kebanggaan. Saya gembira dengan kemenangan dan walaupun ia aksi sukar, kami melakukannya dengan baik.

"Berbekalkan kualiti yang ada, kami perlu dan mahu memenangi setiap perlawanan. Jadi, kami perlu beraksi penuh fokus dan kami telah melakukannya."