Hazard seperti 'di syurga' bersama Zidane

Oleh Staff Writer 11 Ogos 2019 4865
Hazard seperti 'di syurga' bersama Zidane
Eden Hazard mempelajari banyak perkara daripada bekas jurulatihnya, Antonio Conte dan Maurizio Sarri, namun mendedahkan dia seperti berada di "syurga ketujuh" apabila beraksi di bawah kendalian idolanya, Zinedine Zidane.

Pemain baru daripada Chelsea itu menjaringkan gol pertamanya buat Los Blancos ketika menewaskan Salzburg 1-0, Rabu lalu, dan dia berharap dapat beraksi ketika menentang AS Roma, awal pagi esok.

Seminggu kemudian, Madrid akan memulakan aksi LaLiga dengan menentang Celta Vigo dan Hazard mendedahkan pemikiran positifnya menjelang kempen itu sambil memuji jurulatihnya.

"Ketika kecil, saya mengimpikan untuk menyarung jersi Real Madrid," katanya kepada Corriere della Sera.

"Apabila Real mengetuk pintu anda, apa yang anda boleh fikirkan hanyalah satu, buka pintu itu.

"Di Chelsea, saya menghabiskan tahun-tahun yang tidak dapat dilupakan, namun di sini, saya berada di syurga ketujuh.

"Salah seorang idola zaman kanak-kanak saya ialah Zinedine Zidane.

"Saya menampal posternya di dalam bilik dan sekarang saya berpeluang untuk berlatih di bawahnya," katanya.

Ketika Hazard sedang menantikan permulaan babak baru kariernya di Santiago Bernabeu, bekas jurulatihnya, Conte, mengambil alih Inter Milan, yang turut diperkuatkan dengan rakan sepasukannya di Belgium, Romelu Lukaku.

Hazard berharap Lukaku akan berjaya dalam Serie A sambil menggesa peminat di Itali agar tidak memandang rendah bekas penyerang Manchester United itu.

"Dia seorang penyerang yang hebat, peledak yang tahu untuk menyesuaikan diri dalam kondisi perlawanan.

"Dia akan menjaringkan banyak gol -- dan dia adalah penyerang penting -- tetapi ia satu kesilapan untuk menganggap dia hanya mampu melakukan itu.

"Dia boleh melakukan banyak perkara lain.

"Sebagai contoh, dia amat pakar untuk mencipta apa yang kami namakan 'permainan kedua'.

"Semua orang akan beraksi lebih baik jika dia berada dalam pasukan," tambahnya.

Ditanya sama ada Conte atau jurulatih baru Juventus, Sarri, telah memberikan impak lebih besar kepada dirinya, Hazard menambah: "Saya mempelajari banyak perkara daripada mereka berdua.

"Mereka berbeza daripada segi perwatakan dan ideologi, namun mereka ada persamaan: kedua-duanya adalah pemenang.

"Mereka mempunyai cara tersendiri dan tahu mesej apa yang perlu disampaikan kepada pemain," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen