Bintang Perancis dan Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, menyifatkan pemain sayap Chelsea, Eden Hazard, sebagai pemain terbaik yang dihadapinya bagi tahun 2018.

Mbappe muncul pemenang pertama Trofi Kopa selaku pemain bawah 21 tahun terbaik dunia kelmarin tatkala dia berada di kedudukan keempat senarai Ballon d'Or selepas tampil cemerlang bersama PSG dan juara Piala Dunia, Perancis.

Aksi di Russia telah menemukan Mbappe dan Hazard dalam separuh akhir di mana pertemuan itu berakhir dengan kemenangan buat Perancis 1-0.

Mbappe tampak begitu teruja dengan aksi pantas Hazard sambil dia turut memuji bintang The Blues itu tidak bermain dengan ego dan sentiasa mahu menghantar bola kepada rakan sepasukan.

"Hazard adalah pemain terbaik yang saya temui tahun ini kerana benar-benar membuatkan saya kagum," kata Mbappe.

"Bersama Belgium ketika separuh akhir Piala Dunia, dia tampil hebat dan sangat menghormati perlawanan. Apabila dia perlu memberikan bola, dia tidak teragak-agak melakukannya.

"Kadangkala, saya berada di jarak lima meter daripadanya dan saya teruja dengan kepantasan yang Hazard miliki, cara kawalan bola yang sentiasa kemas serta terus berfikir dalam keadaan sedang merebut bola. Tiada ruang yang dia terlepas."