Bintang Chelsea, Eden Hazard, menafikan laporan dia telah bersetuju untuk menyertai Real Madrid sambil menegaskan tiada sebarang perkara yang berlaku.

Hazard dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid sejak beberapa bulan lalu dan walaupun dia telah berbincang secara positif mengenai beraksi bersama Chelsea dan pengendali, Maurizio Sarri, dia terus menghangatkan spekulasi untuk ke Los Blancos.

Tahun lalu, Hazard mendakwa mewakili Real Madrid adalah satu impian tatkala Sabtu lalu, wujud laporan bahawa pemain berusia 28 tahun itu telah mencapai persetujuan kontrak selama lima tahun dengan pasukan bimbingan Zinedine Zidane itu.

Bercakap mengenai tugas antarabangsa bersama Belgium, Hazard tidak mahu menambah spekulasi itu walaupun tindakannya sedikit merisaukan peminat The Blues.

Apabila Hazard menyedari soalan mengenai Madrid ketika sidang media, dia pantas menjawab: "Tidak, tidak. Saya bukan ke sini untuk bercakap mengenai Real."

Namun, apabila terus dipaksa untuk menjawab, Hazard membalas:" Tiada apa yang berlaku. Saya fokus aksi berdepan Cyprus dan itu sahaja yang saya fikirkan sekarang."

Hazard telah menyumbat 13 gol dan mencatat 11 bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.