Eden Hazard menekankan betapa pentingnya Real Madrid memenangi trofi setiap musim tatkala bintang baru itu menyasarkan gelaran pada musim 2019-20.

Hazard beralih angin daripada Chelsea untuk ke Madrid selepas gergasi LaLiga itu melalui musim 2018-19 yang sukar.

Madrid menduduki tangga ketiga sambil Barcelona mengungguli LaLiga sementara mereka terkandas dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dan separuh akhir Copa del Rey.

Hazard -- yang memimpin Chelsea menjulang kejuaraan Liga Europa musim lalu- - memahami kepentingan gelaran di Santiago Bernabeu.

"Apabila anda beraksi untuk Real Madrid, anda perlu memenangi segala-galanya pada setiap musim. Anda perlu menang, menang, menang," Hazard memberitahu Jay Shetty melalui laman sesawang rasmi Madrid.

"Jika anda tidak memenangi UCL, peminat akan dilanda kekecewaan kerana itulah harapan mereka. Di kelab ini, anda sentiasa menagih kemenangan dan itulah sebabnya saya di sini.

"Saya mahu beraksi, menjaringkan gol dan pada akhir musim, menjulang trofi."

Hazard melakukan penampilan sulungnya bersama Madrid dalam kekalahan 1-3 kepada Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), Ahad lalu.

Pemain antarabangsa Belgium itu akan menghadapi Arsenal di Maryland, Amerika Syarikat, pagi esok.

"Saya mahu diberi kebebasan dalam permainan tetapi itu adalah sukar kerana sukan ini mempunyai pertahanan dan pemain tengah ... tetapi corak permainan saya menjurus seperti itu," kata pemain bahagian serangan itu.

"Jika saya tidak menikmati kebebasan, maka saya tidak dapat beraksi dengan baik dan akhirnya memanaskan bangku simpanan. Saya gemar menguasai bola, bergerak ke kanan dan ke kiri, mencari ruang dan menggunakan naluri.

"Saya fikir tidak perlu diarahkan untuk bergerak di sebelah kanan atau ke kiri. Saya hanya bermain, dapatkan bola dan membiarkan naluri saya menentukan apa yang perlu dilakukan."