DEPORTIVO LA CORUNA 2 BERCELONA 4

Barcelona menjuarai LaLiga buat kali ke-25 selepas mengalahkan Deportivo La Coruna 4-2, awal pagi tadi.


Barca hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan ketujuh mereka dalam tempoh 10 tahun sambil Deportivo La Coruna tersingkir daripada saingan peringkat tertinggi.

Skuad Catalan itu mendominasi carta saingan Sepanyol itu musim ini dengan menyempurnakan tugasan mereka dengan baki empat perlawanan lagi hasil gol sumbangan Philippe Coutinho dan hatrik Lionel Messi di Riazor.

Kejayaan itu menyusul selepas mereka dinobatkan juara Copa Del Rey minggu lalu sebagai buah tangan pada musim pertama di bawah kendalian Ernesto Valverde.

Ogos lalu, Barca dibelasah 5-1 dalam pertembungan dengan musuh El Clasico, Real Madrid -- yang menguasai kancah Sepanyol dan Eropah musim lalu -- dalam Supercopa de Espana dan gandingan 'MSN' mereka musnah berikutan penghijrahan Neymar ke Paris Saint- Germain (PSG).

Andres Iniesta juga akan meninggalkan Camp Nou selepas menjulang trofi LaLiga kesembilannya apabila pemain Sepanyol itu mengumumkan dia akan meninggalkan gergasi Catalan berkenaan selepas 22 tahun bersama kelab itu.

Bagi Valverde, tumpuan kini akan beralih ke arah melengkapkan musim ini dengan rekod tanpa kalah.

Madrid akan menjadi pasukan pertama untuk cuba menafikan sejarah baru itu dalam pertembungan El Clasico hujung minggu depan dan dalam masa sama, Barca masih perlu menghadapi Villareal, Levante dan Real Sociedad.

"Kami lebih handal daripada seteru-seteru kami," kata Messi kepada Movistar,

"Kami tidak tewas dalam sebarang perlawanan, kecuali sekali dalam Copa del Rey dan malang sekali, Liga Juara-Juara, kerana kami tidak menduganya berlaku memandangkan bekalan yang kami bawa.

"Kebenarannya, kejayaan ini memiliki merit yang tinggi. Ia sangat sukar," tambahnya.