Hatrik Messi bantu Argentina benam Haiti

Oleh Staff Writer 30 Mei 2018 2534
Hatrik Messi bantu Argentina benam Haiti
ARGENTINA 4 HAITI 0

Ia adalah persembahan Lionel Messi apabila hatriknya membantu Argentina meraih kemenangan rutin 4-0 ke atas Haiti dalam perlawanan persahabatan di La Bombonera, Buenos Aires, pagi ini.


Dengan Piala Dunia di Russia akan berlangsung bulan depan, juara dua kali, Argentina, meningkatkan persediaan mereka dengan kemenangan hasil tiga gol daripada kapten, Messi.

Messi meraih gol antarabangsanya yang ke-64 dalam penampilan ke-124 -- sepakan penalti yang disudahkan bintang Barcelona itu memecah kebuntuan pada minit ke-17 sebelum dia menjaringkan dua lagi gol dalam separuh masa kedua menentang negara kepulauan Caribbean itu.

Pemenang lima kali Ballon d'Or berkenaan kemudian membuat bantuan gol kepada pemain gantian dan penyerang Manchester City, Sergio Aguero, ketika perlawanan berbaki 21 minit di La Bombonera, di mana Haiti langsung tidak membuat percubaan.

Javier Mascherano menyertai Javier Zanetti sebagai pemain paling banyak membuat penampilan antarabangsa bersama Argentina dengan 143 dan bekas pemain Barcelona itu diraikan sebagai tanda hormat sebelum perlawanan.

Mascherano adalah antara lima pemain yang terselamat daripada kesebelasan utama yang tewas 6-1 kepada Sepanyol pada Mac lalu -- Gonzalo Higuain, Nicolas Otamendi, Nicolas Tagliafico dan Giovani Lo Celso dikekalkan Jorge Sampaoli ketika Messi kembali bersama Angel Di Maria.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen