ENGLAND 6 PANAMA 1

England mengesahkan tempat dalam pusingan kedua Piala Dunia 2018 setelah meraih
kemenangan kedua dengan membelasah Panama 6-1 dalam aksi Kumpulan G di Nizhny Novgorod, sebentar tadi.


Sedar bahawa tiga mata akan mengesahkan tempat buat England dalam kelompok 16 terakhir, pengendali pasukan, Gareth Southgate, hanya melakukan satu perubahan daripada barisan yang menundukkan Tunisia 2-1 ketika aksi pertama apabila Ruben Loftus-Cheek menggantikan Dele Alli yang tidak cergas sepenuhnya.

Skuad The Threee Lions hanya memerlukan lapan minit untuk meletakkan diri di depan apabila pertahanan Manchester City, John Stones, melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hasil sepakan sudut dari sebelah kanan daripada Kieran Trippier untuk menewaskan penjaga gol lawan, Jaime Penedo.

England terus melebarkan pendahuluan apabila Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti susulan insiden Fidel Escobar menjatuhkan pemain tengah, Jesse Lingard, pada minit ke-22, sekali gus membolehkan penggempur Tottenham Hotspur itu meraih jaringan ketiga peribadi dalam kejohanan.

Lingard menambah gol ketiga buat England pada minit ke-36 apabila hantaran satu dua dengan Raheem Sterling disudahkan dengan rembatan lencong menewaskan Penedo, sebelum Stones terus menambah derita lawan menerusi tandukan dari jarak dekat untuk meraih gol peribadi kedua dan menjadikan kedudukan 4-0, empat minit kemudian.

Kane turut meraih gol peribadi kedua apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45, membolehkannya berkongsi jumlah jaringan terbanyak dengan empat gol bersama penyerang Belgium, Romelu Lukaku, dan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Bersambung babak kedua, England mengekalkan penguasaan permainan sambil Jordan Pickford di
gawang jarang diuji barisan depan Panama.

Kane melengkapkan hatrik buat dirinya pada minit ke-62 apabila bola rembatan Loftus-Cheek terbias daripada penyerang berusia 24 tahun itu sebelum melantun masuk ke gawang bagi menjadikan
kedudukan 6-0.

Felipe Baloy menjaringkan gol sagu hati buat Panama pada minit ke-78 tetapi ia tidak dapat menghalang England untuk meraih kemenangan kedua dan menyamai enam mata yang diraih Belgium, sekali gus akan melakukan perhitungan untuk merebut status juara kumpulan dengan pasukan bimbingan Roberto Martinez itu pada 29 Jun nanti.