SOCHAUX 1 PSG 4

Angel Di Maria menjaringkan hatrik ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) membenam cabaran kelab Ligue 2, Sochaux, 4-1 dalam aksi pusingan 16 saingan Piala Perancis di Stadium Auguste Bonal, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Argentina itu hanya memerlukan 52 saat dari sepak mula untuk membuka tirai jaringan buat skuad kendalian Unai Emery itu apabila menanduk masuk bola hantaran Kylian Mbappe dari sebelah kanan

Tersentak dengan gol pendahuluan pelawat, Sochaux cuba mengatur gerakan dan menyamakan kedudukan pada minit ke-13 menerusi Florian Martin yang bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang PSG.

Bagaimanapun, kegembiraan buat tuan rumah itu tidak bertahan lama apabila Edinson Cavani kembali meletakkan pelawat di depan menerusi jaringan jarak dekat pada minit ke-27 dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

PSG yang kini menerajui carta Ligue 1 terus menampilkan aksi kemas dalam babak kedua tatkala tuan rumah bergelut untuk mencari peluang bagi mendapatkan gol penyamaan.

Tindakan bijak Marco Verratti yang berbalas hantaran pendek dengan Julian Draxler pada minit ke-58 memberikan ruang buat Di Maria untuk menjadikan kedudukan 3-1, kali ini menerusi rembatan leret kaki kiri.

Empat minit kemudian, bekas pemain sayap Manchester United itu melengkapkan malam gemilangnya dengan hatrik pertama buat PSG selepas memanfaatkan bola muntah hasil daripada percubaan awal Cavani.

Walaupun penjaga gol, Kevin Trapp, dilayadkan kad merah pada minit-minit akhir perlawanan, kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat aksi, membolehkan PSG menempatkan diri dalam saingan suku akhir.