Pengurus Burnley, Sean Dyche, percaya Joe Hart berada di tahap prestasi yang akan memberi kelebihan kepada skuad England.

Hart telah megharungi dua tahun yang sukar sehingga terpinggir daripada kempen Piala Dunia Russia.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu menyertai Burnley menerusi perjanjian selama dua tahun pada Ogos lalu dengan memulakan kesemua enam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan The Clarets musim ini.

Hart memainkan peranan penting dalam kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu -- kemenangan sulung mereka dalam liga -- di hadapan jurulatih England, Gareth Southgate, dan Dyche yakin jika dipanggil, dia tidak akan mengecewakan.

"Saya tidak tahu (jika dia akan dipanggil) tetapi jika itu berlaku, saya fikir dia sudah bersedia jika diperlukan," katanya.

"Saya fikir Gareth berusaha membentuk skuad masa depan dan pemain baru akan tersenarai.

"Begitupun, beliau juga sedar adalah baik untuk mempunyai pemain berpengalaman dalam pasukan -- langkah itu juga boleh membantu beberapa pemain muda.

"Saya percaya Gareth akan melakukan apa sahaja yang perlu dilakukannya."

Skuad bimbingan Dyche akan berdepan Burton Albion dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi esok yang menyaksikan Steven Defour akan membuat kemunculannya pertamanya sejak sekian lama susulan pembedahan lutut pada Februari lalu.

Perlawanan ini mungkin terlalu awal buat seorang lagi pemain yang telah berehat panjang, Robbie Brady, namun pemain antarabangsa Republik Ireland itu semakin hampir untuk membuat kemunculan semula selepas mengalami kecederaan lutut Disember lalu.

Brady -- yang bermain selama 82 minit untuk pasukan B-23 semalam memberitahu laman sesawang rasmi kelab itu: "Sudah berbulan lamanya saya tersisih tetapi saya berasa semakin baik sejak dilanda kecederaan ringan semasa pra-musim.

"Saya berasa sangat baik dan penantian saya akan berakhir tidak lama lagi, saya rasa hampir bersedia dan teruja untuk kembali."