Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, masih memberi kepercayaan kepada pemain utamanya apabila mengesahkan hanya melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama untuk pertemuan menentang Kemboja, malam ini.

Skuad negara gagal melakukan permulaan sempurna dalam siri lima perlawanan persahabatan yang dirangka menjelang Piala Suzuki AFF, November ini.

Ini selepas skuad bimbingannya tewas 0-2 kepada Taiwan di tempat lawan Jumaat lalu dengan permukaan padang yang teruk diakui antara faktor kekalahan Malaysia.

Begitupun, Cheng Hoe tampak masih menaruh harapan kepada barisan yang sama setelah semua pemain didapati bebas daripada kecederaan.

"Kekalahan kepada Taiwan tempoh hari sedikit mengganggu mental pemain," kata Cheng Hoe.

Berdasarkan situasi semasa, Cheng Hoe dijangka melakukan pertukaran penjaga gol membabitkan di antara Farizal Marlias dan Khairul Fahmi Che Mat.

Begitu juga dengan posisi serangan dengan Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri Md Fauzi hampir pasti dipertaruhkan untuk menggempur kubu Kemboja.

"Saya tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama (daripada perlawanan dengan Taiwan).

"Kami hanya mempunyai tempoh rehat selama dua hari tetapi saya memerlukan kesegaran pemain untuk memberi impak kepada pasukan," katanya lagi.