Tonggak tengah kebangsaan, Muhammad Akram Mahinan, mengakui semangat dalam skuad negara kini di tahap terbaik dan setiap pemain sudah semakin serasi dengan pendekatan taktikal pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, menjelang aksi persahabatan bertemu Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sesi latihan terakhir skuad kebangsaan semalam mendapati suasana ceria dapat dilihat dalam pasukan dan ia memberi gambaran positif usaha barisan negara menamatkan kemarau kemenangan sejak 2016.

Walaupun harapan kian tinggi untuk menamatkan badi tanpa kemenangan itu, Akram menyifatkan Cheng Hoe mempunyai pendekatan tersendiri dalam meningkatkan motivasi pemain tanpa memberi tekanan kepada mereka.

"Bagi saya, suasana pada kali ini agak berbeza kerana pemain-pemain lebih menikmati sesi latihan walaupun perlu fokus. Masing-masing berusaha keras," kata Akram.

Dalam masa sama, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, menyifatkan tiada lokasi lebih sesuai untuk menamatkan penantian kemenangan skuad negara berbanding Stadium Nasional.

Dia yang merupakan benteng terakhir pasukan ketika kejayaan menjulang trofi kejuaraan Piala AFF pada 2010 turut bertekad untuk mengembalikan skuad negara ke landasan kemenangan seperti tahun tersebut.

"Beraksi di Bukit Jalil sentiasa memberi kenangan buat pemain-pemain dan saya mengharapkan ia menjadi titik permulaan buat pasukan kebangsaan pada tahun ini.

"Kami mengharapkan motivasi dari sini," ujar Khairul Fahmi.