Skuad Harimau Malaya perlu bangkit mempamerkan kemampuan sebenar apabila bertemu Laos dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan A, Piala AFF Suzuki 2018 di laman sendiri, Isnin ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kemboja kelmarin, prestasi pasukan negara dilihat banyak kelemahan dan kekurangan itu perlu diatasi segera ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dan barisan kejurulatihan.

"Kita sudah selesaikan misi menang perlawanan pertama kerana ia penting untuk pasukan negara tidak mensia-siakan peluang mengutip tiga mata berdasarkan kelebihan dimiliki Malaysia berbanding lawan.

"Namun, barisan pemain dilihat masih tidak menterjemahkan kemampuan mereka sepenuhnya untuk mempamerkan karakter sebagai sebuah pasukan yang mempunyai kualiti terbaik," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Olimpik, Phom Penh kelmarin, gol tunggal Malaysia dijaringkan penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha, pada minit ke-30.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata dalam perlawanan berdepan Kemboja itu, pihaknya menerima maklum balas dan kritikan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi dan mutu permainan yang ditampilkan skuad Harimau Malaya.

Namun, beliau yang juga timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan aksi itu sebagai ​​​​​​​permulaan kepada pasukan mencari keserasian dan ​​​​​​​kemenangan itu diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus melakar kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

"Jika kita mahu melangkah lebih jauh dan dilihat sebuah pasukan pencabar dalam Piala AFF Suzuki 2018, barisan kejurulatihan dan pemain perlu memperkemaskan permainan dan memperbaiki prestasi mereka.

"​​​​​​​Untuk perlawanan kedua menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, kita perlu menang. Di atas kertas, kita dilihat tiada masalah mengalahkan mereka tetapi pemain tidak boleh memandang mudah kerana ia boleh memakan diri," katanya.

Beliau seterusnya meminta rakyat Malaysia untuk turun memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan yang akan beraksi di laman sendiri dan kehadiran mereka sudah tentu mampu menaikkan semangat pemain.

-- BERNAMA