Status pemain separa profesional dalam keseluruhan pasukan Mongolia bukan satu jaminan kemenangan buat skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Sejarah pernah menjadi saksi sebelum ini apabila skuad negara seri tanpa jaringan bertemu dua pasukan yang statusnya hampir serupa, iaitu Bangladesh pada 2015 dan Macau pada tahun berikutnya.

Berharap peristiwa sama tidak terjadi, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, mengingatkan pemain bahawa Mongolia tetap ada keistimewaan tersendiri walaupun kurang pendedahan bola sepak di peringkat tertinggi.

Bagi Cheng Hoe, kemenangan ke atas Mongolia mustahak bagi menamatkan kemarau kemenangan selepas 10 perlawanan sejak 20 November 2016 ketika menang 3-2 ke atas Kemboja dalam saingan Piala Suzuki AFF.

"Kami tidak boleh memandang rendah kebolehan Mongolia. Mereka mungkin kekurangan teknik tetapi semangat yang dimiliki mereka harus diberikan tumpuan," kata Cheng Hoe.

Pemain tengah, Safiq Rahim, pula mahu menjadikan aksi dengan Mongolia sebagai langkah sulung memperbaiki ranking dunia negara yang kini menjunam pada kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara di tempat ke-178 daripada 211 negara.

"Sebagai pemain, kami mengambil serius kedudukan ranking pasukan ini. Terdapat kelemahan yang harus diperbaiki bagi menghadapi perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Mongolia, Michael Weiss, menjelaskan bola sepak Malaysia bukan sesuatu yang asing buat dirinya.

Beliau sebelum ini pernah membimbing Filipina dari 2011 hingga 2014, malah pernah berdepan skuad negara dua kali dalam aksi persahabatan.

Namun, beliau tetap menghormati skuad negara, tambahan pula dengan beberapa pemain B-23 tahun negara yang layak ke suku akhir Kejohanan AFC turut memperkuatkan pasukan.

"Terdapat beberapa pemain daripada skuad B-23 dan mereka adalah harapan kepada skuad kebangsaan," kata Weiss.