Harimau Malaya naik ke tangga ke-159 dunia

Oleh Bernama 14 Jun 2019 9453
Harimau Malaya naik ke tangga ke-159 dunia
Skuad Harimau Malaya meningkat ke kedudukan terbaik dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak Julai 2017 apabila menghuni tangga ke-159 setakat bulan ini.

Malaysia menghuni tangga ke-167 dunia pada Julai 2017 sebelum kedudukan terus merosot sehingga mencatat sejarah terburuk dengan menduduki tangga ke-178 pada Mac tahun lalu.

Berdasarkan senarai ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA hari ini, kedudukan ke-159 itu menyaksikan Malaysia melonjak sembilan anak tangga berbanding ke-168 pada April lalu, dan menjadi antara tiga negara yang melakar peningkatan terbaik selain Armenia dan Hungary.

Peningkatan itu ekoran kemenangan 2-0 dicatat skuad kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, itu ke atas Nepal dalam aksi persahabatan awal bulan ini sebelum membelasah Timor Leste 7-1 dan 5-1 dalam dua aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Senarai terbaharu itu juga menyaksikan Malaysia menghuni tempat ke-32 terbaik Asia dan kelima Asia Tenggara di belakang Vietnam (96), Thailand (116), Filipina (126) dan Myanmar yang menduduki tangga ke-138.

Negara jiran, Indonesia, turun ke tangga ke-160 sementara Singapura jatuh dua anak tangga di kedudukan ke-162.

Belgium kekal sebagai pendahulu ranking dunia manakala juara Piala Dunia 2018, Perancis, di kedudukan kedua dan Brazil ketiga.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen