Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengakui sudah membuat perbincangan awal dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang kempen pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023.

Sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan kelas A akan diharungi skuad kendalian Tan Cheng Hoe, September depan.

Perbincangan awal dengan pihak UAE juga sudah pun berlaku dan persetujuan untuk mengadakan aksi persahabatan, dua bulan dari sekarang dlihat hampir muktamad.

"Dari September dan seterusnya, mungkin hanya satu perlawanan rasmi bakal diharungi skuad Malaysia manakala satu lagi sebagai perlawanan persahabatan (pemanas badan).

"Tiada gunanya kami mengadakan aksi persahabatan timbal balik dengan UAE di tempat lawan dan tempat sendiri.

"Sebaik jadual peringkat kumpulan sudah dikeluarkan, barulah kami boleh menentukan (hala tuju pasukan kebangsaan)," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pertukaran pasukan sempena aksi ujian itu, bagaimanapun, terpaksa dibuat sekiranya Malaysia dan UAE diundi dalam kumpulan yang sama di peringkat kelayakan.

"Kami sudah berbincang tetapi ia bergantung kepada keputusan undian peringkat kumpulan," tambahnya.

Proses undian itu akan diadakan di Rumah AFC, Kuala Lumpur, 17 Julai ini, yang menyaksikan Malaysia berada dalam balang 4 selepas menduduki ranking ke-32 Asia.