Erling Haaland menikmati permulaan yang tidak boleh dilupakan bersama Borussia Dortmund selepas meledak hatrik dalam perlawanan sulungnya ketika mengatasi Augsburg 5-3 dalam saingan Bundesliga.

Haaland hadir sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua untuk menjaringkan tiga gol dalam tempoh 20 minit.

Haaland, yang berhijrah ke Dortmund dengan yuran perpindahan EURO20 juta (RM89 juta) dari Salzburg bulan ini, menggantikan Lukasz Piszczek selepas 56 minit dan menjaringkan gol menerusi sentuhan pertama selepas 183 saat berada di atas padang sebelum melengkapkan hatriknya.

"Ia merupakan hari yang terbaik. Saya sangat gembira. Buat masa ini, saya berasa sangat tenang dan tidak tahu mengapa," kata Haaland, yang turut dikaitkan dengan Manchester United dan RB Leipzig sebelum menyertai Dortmund.

"Saya memiliki persekitaran yang baik di Dortmund, rakan sepasukan yang bagus. Dortmund merupakan kelab yang berkualiti."

Haaland menjadi pemain BVB pertama menjaringkan hatrik dalam penampilan sulung sejak Pierre-Emerick Aubameyang pada 2013.

Pemain kebangsaan Norway itu meledak 28 gol dalam 22 penampilan bersama Salzburg bagi musim 2019-20.



Editor: Ammar Hakim