Hari Bola Sepak Akar Umbi secara tahunan -- FAM

Oleh Bernama 12 Mei 2018 1207
Hari Bola Sepak Akar Umbi secara tahunan -- FAM
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhasrat menganjurkan Hari Bolasepak Akar Umbi secara tahunan, kata setiausaha agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Inisiatif ini telahpun dijalankan oleh FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sebelum ini.

"Program seperti ini adalah bagus. Semua ahli gabungan perlu mengadakannya secara tahunan. Ini adalah bagus untuk menarik minat terhadap sukan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Kita (FAM) juga mahu acara seperti ini diadakan di peringkat negeri," katanya ketika ditemui dalam sambutan Hari Akar Umbi Bolasepak AFC 2018 di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Turut hadir dalam sambutan berkenaan ialah Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, dan beberapa anggota  exco serta Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, dan Ketua Unit Akar Umbi FAM, Samuel Siew.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, lelaki dan perempuan, berusia 6 hingga 12 tahun menyertai Hari Bolasepak Akar Umbi AFC 2018 itu.

Dalam majlis itu juga, FAM memperkenalkan pemain skuad B-23 kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, dan pemain futsal wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli, sebagai Duta Akar Umbi FAM.

Sambutan Hari Akar Umbi Bolasepak AFC 2018 itu diserikan dengan perlawanan pertunjukan bola sepak berjalan atau 'Walking Football' yang disertai Hamidin dan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh serta beberapa personaliti lain. 

Meskipun bola sepak berjalan ini sudah lama bertapak di United Kingdom dan popular di Singapura, namun ia kurang dikenali di Malaysia.

“Bola sepak berjalan memerlukan gerakan tubuh yang minimum dengan risiko kecederaan yang lebih rendah, ia pilihan sesuai untuk individu yang mengalami masalah kesihatan.

“Ia sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan lebih ramai individu terbabit aktif dalam acara berbentuk fizikal. Apa yang penting, ia mudah dan menyeronokkan,” kata perunding Adjunct Akademik (kerjasama antarabangsa) yang juga pakar fisiologi dan pemakanan Universiti Edith Cowan Australia, Dee Dee Mahmood.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen