Hanya Shahidan mampu selamatkan Perlis

Oleh Staff Writer 19 Mei 2018 449
Hanya Shahidan mampu selamatkan Perlis
Penganalisis sukan negara, Asan Ahmad, melihat hanya bekas presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim, mampu menyelamatkan bola sepak Perlis.

Berdasarkan pengaruh politik serta kejayaan mengangkat martabat bola sepak Perlis satu ketika dahulu, Shahidan mempunyai kredibiliti memastikan nama negeri itu tidak terkubur dalam saingan Liga Malaysia.

"Beliau satu-satunya individu yang komited untuk menyelamatkan bola sepak Perlis. Sudah diketahui sebelum ini Perlis berdepan pelbagai masalah, terutama isu pembayaran gaji. 

"Beliau juga pernah menggunakan wang sendiri untuk menjaga kebajikan pemain," ujar Asan.

Seorang lagi penganalisis sukan negara, Rizal Hashim, meramalkan masalah yang dihadapi Perlis akan dihadapi pasukan lain pada musim 2019 ekoran perubahan landskap politik negara.

Antaranya kelab-kelab yang ditubuhkan oleh syarikat berkaitan kerajaan seperti Felda, Felcra dan MOF FC.

"Apakah dasar-dasar lembaga pengurusan syarikat berkaitan kerajaan itu akan bertukar apabila wujudnya kerajaan persekutuan yang baru, itu juga menjadi persoalan. 

"Ketika ini, ia terbuka kepada pelbagai spekulasi disebabkan kita tidak mempunyai ekosistem yang teguh dan boleh memastikan setiap pasukan bertahan tanpa bergantung kepada dasar individu, ketua pegawai eksekutif dan juga mana-mana menteri," kata Rizal.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen