Masa depan Gareth Bale di Real Madrid berterusan menjadi subjek spekulasi -- dengan kebanyakan penyokong setia di Santiago Bernabeu pasti akan gembira dengan perpindahan pemain Wales itu.

Aktiviti perpindahan di Madrid dijangka sibuk pada bulan-bulan akan datang selepas mengharungi musim mengecewakan yang menyaksikan Julen Lopetegui dan Santiago Solari dipecat hingga mereka ketinggalan 19 mata kepadajuara, Barcelona.

Bale mendapati dirinya disisihkan daripada perancangan pengurus dari Perancis itu apabila gagal tampil seminit pun dalam tiga perlawanan terakhir musim ini.

Dalam tinjauan AS, Bale hanya menerima sembilan peratus undian daripada lebih lima juta peminat yang mengukur populariti setiap anggota skuad Zidane,

Rakan sepasukannya yang turut kehilangan sokongan terdiri daripada Isco, yang mendapat undian 31 peratus, Marcelo (33 peratus) dan Toni Kroos (36 peratus).

Dalam kekalahan 'derby El Clasico' dengan Barcelona, Mac lalu, Bale dihina peminat sendiri ketika digantikan oleh Marco Asensio.

Dani Carvajal terbukti menjadi pemain paling popular dalam skuad Madrid dengan meraih 92 peratus undian manakala Vinicius Jr di tempat kedua dengan 89 peratus dan kapten kelab, Sergio Ramos, ketiga dengan 84 peratus.

Penjaga gawang, Keylor Navas, yang merupakan antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan, meraih 76 peratus undian daripada penyokong di depan seteru posisinya, Thibaut Courtois, yang meraih 65 peratus.

Pemenang Ballon d'Or, Luka Modric, mendapat sokongan lebih kecil dengan meraih 63 peratus.