Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menganggap pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan 2019 sebagai motivasi dalam memajukan bola sepak negara untuk bersaing di tahap lebih tinggi.

Hamidin dan 29 individu lain dianugerahkan pingat Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Sultan Ahmad Shah, hari ini.



Ini merupakan pengiktirafan tertinggi pertama buatnya sejak menjadi presiden FAM tahun lalu dan Hamidin menyifatkan ia sebagai suntikan motivasi buat dirinya dalam memimpin badan induk bola sepak negara itu.

Beliau mula terbabit dengan pengurusan bola sepak tempatan apabila memikul tugas sebagai setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selama 15 tahun dari 1998 hingga 2013.

"Dengan anugerah ini, ia adalah motivasi untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak negara," kata Hamidin.

Sementara itu, presiden berusia 54 tahun itu turut berpandangan anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan kepada bola sepak negara.

"Saya berharap untuk terus bekerja dengan lebih kuat bagi memartabatkan bola sepak negara di pentas antarabangsa."