Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan skuad kebangsaan tiada pilihan selain memastikan kelayakan ke pentas Piala Asia 2023 sambil mencagarkan jawatannya dalam badan induk itu.

Hamidin tidak memberi sebarang pilihan buat skuad muda kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi tempoh empat tahun akan datang selain layak ke Piala Asia 2023.

Sekiranya ia tidak berlaku, ada harga yang mahal perlu dibayar Hamidin melibatkan posisinya selaku presiden FAM.

Ia adalah sasaran yang lebih relevan jika dibandingkan dengan hasrat yang pernah disuarakan pimpinan FAM terdahulu, namun sehingga kini, nama Malaysia tidak pernah berada dalam peta bola sepak dunia.

Jika posisi menjadi cagaran, tidak hairan skuad kendalian Kim Swee diberikan keutamaan lebih berbanding dengan skuad senior kendalian Tan Cheng Hoe.

"Saya tidak gentar untuk bertanggungjawab atau meletakkan jawatan saya. Ini bukan mainan saya. Kalau saya mahu letak jawatan, bila-bila masa sahaja. Saya lakukan ini untuk negara. Saya tahu bila patut saya undur diri," kata Hamidin.

"Kalau kami gagal, perlu dilihat prestasi mana yang macam yo-yo. Bukan bila gagal, perlu pecat sana-sini. Biar jurulatih, pengurus atau bahagian teknikal bekerjasama. Sebab itu saya cakap, bukan Kim Swee atau Cheng Hoe sahaja yang bertanggungjawab tetapi semua, termasuk saya."

Seiring dengan hasrat untuk meraih slot layak ke Piala Asia, usaha untuk mendapatkan tambahan pemain naturalisasi juga menjadi bahagian penting yang perlu dilakukan FAM.

Tarikh 30 Mac ini merupakan hari penting untuk menggambarkan FAM serius mencari kudrat pemain baka luar selepas Mohamadou Sumareh kini menyarung jersi negara bermula tahun lalu.

Antara nama yang mungkin berada dalam radar FAM adalah Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi yang sudah mencapai tempoh lima tahun bermastautin di Malaysia.

"Kali ini, cadangan terakhir daripada komuniti telah disiapkan. Kami akan umumkan dalam mesyuarat exco seterusnya di Pulau Pinang pada 30 Mac," tambah Hamidin.

"Proses ini melibatkan FIFA, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan konsep ini perlu dijelaskan kepada media serta peminat."