Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menyifatkan pencalonannya sebagai naib presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai satu penghormatan terhadap FAM pada ketika beliau mendapat sokongan padu daripada barisan Exco FAM untuk bertanding.

AFC menerusi senarai calon yang dikeluarkan semalam, mengesahkan Hamidin mendapat pencalonan untuk merebut jawatan naib presiden badan induk Asia itu.

Ia bagi penggal 2019-2023 dengan Kongres Pemilihan ke-29 AFC dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, 6 April depan.

Lima jawatan naib presiden bakal menjadi rebutan, dengan Hamidin menjadi salah seorang daripada empat calon dari Asia Tenggara.

"Ia merupakan satu kejutan dan saya belum memikirkan lagi keputusan yang akan dibuat.

"Saya boleh menolak pencalonan itu sebelum April tahun depan.

"Ia merupakan pernghormatan buat FAM dan Malaysia kerana terdapat wakil untuk memegang jawatan penting dalam AFC.

"Apapun, saya memerlukan masa untuk memikirkan keputusan itu," katanya.

Hamidin yang turut dicalonkan sebagai ahli jawatankuasa AFC, bagaimanapun, boleh menarik diri pada bila-bila masa andai enggan bertanding.

Bagaimanapun, pencalonan itu mendapat sokongan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"FAM sebulat suara mengharapkan beliau untuk bertanding di peringkat AFC.

"Ia merupakan peluang terbaik bukan sahaja buat dirinya tetapi juga FAM.

"Kami mahu FAM diiktiraf sehingga ke peringkat Asia," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.