Sejurus dipilih selaku presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, kini berdepan tugas getir dalam memastikan badan induk itu mampu untuk mencari dana bagi menyelesaikan baki geran yang tertunggak kepada semua pasukan di samping mencari penaja baru musim depan.

Ia merupakan antara isu yang bakal diberi penekanan oleh Hamidin memandangkan sebelum ini, MFL pernah berjanji untuk mengagihkan geran tahunan sebanyak RM3 juta kepada pasukan Liga Super sementara RM1j untuk pasukan Liga Perdana.

Fasa pertama geran sudah pun dilunaskan Julai lalu, namun baki RM1.5j dan RM500,000 buat pasukan Liga Super dan Liga Perdana masih belum diberikan meskipun MFL berjanji ia akan dilunaskan pada 15 Ogos lalu.

Bagaimanapun, presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu akan tetap berusaha untuk memastikan kesemuanya dapat diselesaikan dengan mencari dan meyakinkan prospek penaja baru biarpun perjalanan liga kini sudah hampir ke penghujungnya.

"Saya memerlukan sokongan daripada semua pihak dalam menyelesaikan isu geran dan berusaha mendapatkan penajaan untuk musim hadapan," katanya di Hotel Hilton, Petaling Jaya, hari ini.