Hamidin dipilih selaku naib presiden AFF

Oleh Bernama 17 Mac 2019 1163
Hamidin dipilih selaku naib presiden AFF
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dipilih sebagai naib presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bagi penggal 2019-2023 dalam Kongres AFF di Siem Reap, Kemboja, hari ini.

Menurut laman Facebook rasmi FAM, turut terpilih bagi menyandang jawatan itu ialah Datuk Seri Zaw Zaw dari Myanmar yang mempertahankan jawatannya dan Datuk Seri  Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste.

AFF kini diterajui Mejar Jeneral Khiev Sameth dari Kemboja selaku presiden, menggantikan Sultan Ahmad Shah yang menolak pencalonan atas sebab kesihatan. 

Sameth menang tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Sameth, yang juga Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), sebelum ini memegang jawatan timbalan presiden AFF.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menyifatkan pemilihan Hamidin sebagai satu penghormatan buat FAM dan juga negara. 

“Sebagai antara negara pengasas AFF, FAM harus ada suara dalam menentukan dasar dan hala tuju AFF, apatah lagi badan serantau ini berpangkalan di Kuala Lumpur, dengan ibu pejabat baru bakal siap sepenuhnya tahun ini.

“Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF di bawah kepimpinan Sameth agar AFF dapat membantu anggota gabungannya menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara,” katanya.

Dalam Kongres AFF yang disusuli mesyuarat majlis badan induk itu, perwakilan FAM dianggotai Hamidin, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Mohd Kamal, dan Stuart.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen