Hamidin dipilih sebagai presiden MFL

Oleh Bernama 14 September 2019 163
Hamidin dipilih sebagai presiden MFL
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dipilih sebagai presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019, hari ini. 

Pemilihan Hamidin itu adalah selepas pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 23 rakan kongsi bersetuju untuk meminda Perlembagaan MFL, di mana status jawatan pengerusi ditukar kepada presiden dengan calon untuk menduduki kerusi tertinggi itu adalah dalam kalangan ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan perlembagaan itu menyaksikan Hamidin dipilih untuk menerajui MFL daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga pengerusi MFL sebelum ini.

Hamidin dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari ini mengakui memegang jawatan sebagai presiden MFL merupakan satu tanggungjawab berat. 

"Ini memang tanggungjawab berat dan ia bukan keinginan saya tetapi atas dasar tanggungjawab, saya akan memikul amanat yang diberikan ini dengan sebaik mungkin atas dasar bola sepak dan juga negara saya.

"Dan untuk itu, saya perlukan sokongan daripada semua untuk membantu saya menjalankan tanggungjawab ini. Saya akan cuba selesaikan baki geran untuk akan datang serta tahun ini, dan mendapatkan penaja baru," katanya. 

Hamidin berkata beliau menagih sokongan semua pihak untuknya mengimbangi tuntutan selaku presiden FAM dan presiden MFL. 

Tegasnya, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai presiden MFL jika ada calon lain yang lebih baik untuk menggantikannya pada masa akan datang. 

Sementara itu, pertukaran Ahli Lembaga Pengarah MFL menyaksikan Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL menggantikan Hamidin.

Untuk rekod, Hamidin, 54, memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku setiausaha eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995. 

Selepas dilantik sebagai setiausaha agung FAS pada 1998,  Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk naib presiden, ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan sebelum diangkat menjadi setiausaha agung FAM pada 2013.

Beliau berkhidmat sebagai setiausaha agung FAM di bawah pentadbiran Al Sultan Abdullah yang memegang jawatan presiden FAM pada 2014 hingga 2017.

Susulan peletakan jawatan Tunku Ismail selaku presiden FAM pada awal 2018, Hamidin dipilih sebagai pengganti pada Julai tahun yang sama di mana beliau merupakan presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan dalam kalangan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951. 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen