Mohamad Hafiz Ramdan dilantik sebagai kapten pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC berikutan ketiadaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang berpindah ke Perak musim ini.

Hafiz, 26 diberi tanggungjawab itu kerana merupakan pemain paling senior dalam skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu

Begitupun, ini bukan kali pertama pemain tengah itu yang lebih dikenali sebagai Kancil diberi tanggungjawab memakai lilitan lengan selaku kapten.

Sebelum ini, Hafiz juga memikul tugas selaku ketua pasukan semasa Shahrel Fikri menyertai pasukan Thailand, Nakhon Ratchasima, selama lima bulan musim lalu.

Justeru, pengendali PKNP itu yakin Hafiz mampu melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

"Tidak ada masalah buat Hafiz kerana dia disenangi rakan sepasukan," kata Abu Bakar.

Menurut jurulatih itu, PKNP FC menyerapkan lima pemain yang membantu Perak meraih pingat emas dalam Sukan Malaysia ( SUKMA) 2018 di Perak bagi menghadapi kempen Liga M kali ini.

Mereka adalah Muhammad Aizzat Maidin Koty, Mohamed Sabir Abdul Salim, Muhammad Farid Nezal, Filemon Anyie Standly dan Mohamad Al Fateh Mohd Afandi.

"Mereka adalah tonggak pasukan SUKMA dan akan digunakan dalam kempen Liga M nanti.

"Mereka adalah program pembangunan kami dalam usaha kami melahirkan pemain berwibawa, " ujarnya.