Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mula berdepan ujian membentuk skuad ampuh untuk kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 apabila penyerang utamanya, Hadi Fayyadh Abdul Razak, dilanda kecederaan.

Hadi antara tonggak harapan Kim Swee untuk tugasan kali ini selepas pemain kelab liga J2, Fagiano Okayama, itu tampil menyerlah dalam Kejohanan AFF B-22 di Kemboja, Februari lalu.

Meledak dua jaringan dalam kejohanan itu, Hadi bagaimanapun terpaksa menangguhkan penerbangan pulang dari Jepun ke tanah air ekoran kecederaan, sekali gus gagal melapor diri, hari ini.

"Hadi telah beraksi dalam perlawanan persahabatan dan mengalami kecederaan. Fagiano telah mengambil inisiatif memastikan rawatan diberikan kepada Hadi dan dia dijangka tiba di Malaysia lewat malam ini," kata Kim Swee.

Selain Hadi, lima pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) turut dijangka melapor diri esok.

Latihan hari ketiga yang disertai seramai 21 pemain itu menyaksikan pemain Pahang, Faisal Abdul Halim, tidak menjalani latihan kerana mengalami sedikit kecederaan.

"Kami akan bersaing terlebih dahulu dan melakukan yang terbaik sebelum memikirkan sama ada terpilih beraksi bersama pasukan," kata Faisal.

"Jika setiap pemain memberikan yang terbaik, tidak mustahil Malaysia melangkah ke pusingan akhir Kejohanan AFC," kata pertahanan negara, Syahmi Safari.