Penyerang skuad B-23 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, bersedia untuk diturunkan dalam aksi persahabatan berdepan Australia esok selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki kanan.

Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, sebelum ini berdepan ujian untuk membentuk skuad ampuh dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 apabila penyerang utamanya itu dilanda kecederaan.

Hadi merupakan antara tonggak harapan Kim Swee untuk tugasan kali ini selepas pemain kelab liga J2, Fagiano Okayama, itu tampil menyerlah dalam Kejohanan AFF B-22 di Kemboja, bulan lalu.

Kim Swee kini boleh menarik nafas lega apabila penyerang itu disahkan bebas daripada kecederaan untuk membarisi skuad utama dalam aksi persahabatan berdepan Australia.

Tekad menampilkan aksi cemerlang, Hadi mahu memastikan skuad B-23 negara dapat membentuk motivasi yang tinggi sebagai bekalan menghadapi saingan kelayakan.

"Saya sangat gembira kerana bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk bermain untuk skuad negara," katanya.

"Saya mahu mendapatkan keserasian antara pemain dan meningkatkan tahap keyakinan pasukan untuk menghadapi kelayakan Kejohanan AFC."

Sementara itu, penolong jurulatih skuad B-23 Australia, Rene Meulensteen, menganggap kombinasi barisan pemainnya belum berada di tahap memuaskan apabila tewas 0-2 kepada Petaling Jaya City FC dalam aksi persahabatan, Khamis lalu.

Aksi persahabatan kedua berdepan skuad kendalian Kim Swee esok menjadi kayu pengukur terakhir sebelum menghadapi kelayakan Kejohanan AFC B-23 agar pasukan yang mula dibentuk sejak Ogos tahun lalu itu lebih bijak mencipta peluang dan menterjemahkan gol.

Meulensteen yang pernah bersama Manchester United selaku pembantu Alex Ferguson sejak 2008 hingga 2013 turut melihat aspek kekuatan dimiliki skuad Malaysia tidak boleh dipandang mudah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Berdepan PJ City merupakan aksi pemanas badan yang baik buat pemain-pemain menyesuaikan diri dengan cuaca di sini. Ia bukan keputusan yang diingini tetapi terdapat beberapa perkara positif yang dapat diambil daripada perlawanan tersebut," katanya lagi.