"Sejujurnya, saya berasa sangat sedih."

Itu luahan penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, yang reda dengan keputusan Johor Darul Ta’zim (JDT) II menamatkan kontraknya, namun menganggap itu sebagai satu hikmah dalam mencari haluan baru dalam karier.

Hadi Fayyadh bersama pasukan B-19 kebangsaan selamat tiba ke tanah air hari ini selepas melalui tiga perlawanan persahabatan di Oman.

Sudah menduga daripada awal akan perkhabaran kontraknya bakal ditamatkan JDT, Hadi Fayyadh tampak begitu pasrah tetapi dia melihat perkara itu daripada aspek positif.

Malah, dia sedang menanti keputusan kelab divisyen dua Jepun, Roasso Kumamoto, selepas menjalani sesi pemilihan selama enam hari, bulan lalu.

"Perasaan sedih memang ada tetapi saya masih muda dan harus mencari pengalaman baru. Ini lumrah kehidupan. Jika ada peluang lebih baik, saya harus pergi.

"Saya mahu memajukan diri dan cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Walaupun kini bergelar pemain yang tidak mempunyai pasukan ketika kejohanan bawah 19 tahun hanya berbaki sebulan, ia tidak memberi sebarang kesan kepada Hadi Fayyadh.

Baginya, barisan kejurulatihan skuad B-19 sedang mengaturkan sesi latihan khusus buat dirinya serta rakan sepasukan lain.

"Buat masa ini, pihak pengurusan sudah menyediakan program untuk kami. Ada juga pemain lain yang tidak mempunyai pasukan tetapi jadual sudah disediakan.

"Jadi, ia tidak menjadi masalah dalam usaha untuk mengekalkan kecergasan."