Penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, masih belum berputus asa dalam usaha menyambung karier di luar negara tatkala dia berdebar menunggu jawapan kelab Liga Jepun 2, Fagiano Okayama.

Tidak menerima maklum balas positif daripada Roasso Kumamoto, peluang kedua kembali terhidang buat Hadi apabila berpeluang menjalani pemilihan bersama satu lagi kelab di Jepun.

Dia, yang baru pulang dari negara Matahari Terbit itu dua hari lalu setelah menjalani latihan selama seminggu, berharap agar cubaan kedua akan memberi tuah kepada dirinya.

"Saya bersyukur kerana dapat melakukan yang terbaik ketika di sana. Segalanya berjalan lancar. Mereka juga gembira dengan prestasi saya di sana.

"Saya perlu tunggu keputusan dari Jepun selepas saingan Kejohanan AFC," kata Hadi.

Mengenai perkembangan dirinya, Hadi berlapang dada untuk menerima kritikan peminat yang melihat dia dilanda kemerosotan prestasi.

Walaupun perit setelah gagal menyerlah dalam saingan Piala AFF, di mana dia gagal menjaringkan sebarang gol, Hadi kekal positif dengan menjadikan Kejohanan AFC sebagai medan kebangkitan semulanya.

"Bagi saya, sebelum ini orang ramai tidak mengenali saya, jadi mereka tidak menjangkakan apa-apa. Apabila sudah mencapai satu tahap, mereka mengharapkan lebih lagi.

"Itu perkara biasa dalam bola sepak dan apa yang penting, saya harus terus meningkatkan prestasi bagi menutup semua mulut pengkritik."